Dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup
sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Gaya hidup sihat boleh dedifinisikan
sebagai satu amalan kehidupan yang membawa kesan yang positif kepada diri
sendiri, keluarganya dan masyarakat. Bukti kehidupan seseorang itu sihat ialah
individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang
boleh menjejaskan kehidupannya. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh
dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Seseorang perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang dalam
kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan realiti hari ini, orang ramai lebih
suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan
makanan ringan ataupun makanan segera. Masyarakat kita hari ini tidak didedahkan
dan lupa bahawa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang
mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamat yang tinggi sangat
berisiko tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti
sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian
tertinggi di negara kita. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita
semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh
badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan
yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita juga
boleh menjalankan aktiviti beriadah seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau
berlari atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu atau pada masa-masa yang
terluang. Aktiviti sebegini telah diakui oleh pakar perubatan kerana mampu
menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem
imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya
memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan
orang yang jarang bersukan. Kesannya, semakin kerap senaman dilakukan maka
semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas
datangnya daripada badan yang cergas.
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap
masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan
asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan
bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihurung lalat
mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera.
Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial
seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah
dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan
individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan
dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi
manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik
yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan
menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi
bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini. Sesuai dengan falsafah moden yang
berbunyi, “Carilah sahabat yang dapat dijadikan ubat, dapat dijadikan
penawar hati”.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki
oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden
ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan
pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan
satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada
pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana
tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi,
semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat
yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua
amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya
masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia
sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup
sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita
semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya
No comments:
Post a Comment